BTS Media

Hampir 600 kes jangkitan TB direkodkan di seluruh negara

KEMENTERIAN Kesihatan merekodkan peningkatan kes tuberkulosis (TB) apabila sebanyak 596 kes dicatatkan pada Minggu Epidemiologi Keenam berbanding 503 kes pada minggu sebelumnya. Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara meningkat kepada 3,161 kes.

Menurut kenyataan kementerian, Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 755 kes, diikuti Selangor (596), Sarawak (332), Johor (280), Kuala Lumpur dan Putrajaya (244), Kedah (181), Pulau Pinang (172) serta Perak (154).

Negeri-negeri lain yang turut mencatatkan kes ialah Kelantan (121), Pahang (103), Terengganu (74), Negeri Sembilan (62), Melaka (48), Perlis (21) dan Labuan (18).

Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan dan disambut dengan pelbagai aktiviti sosial seperti kunjungan ke bazar Ramadan serta majlis berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya terus mengamalkan langkah penjagaan kesihatan kendiri secara konsisten termasuk mengekalkan amalan kebersihan pernafasan yang baik.

Risiko penularan boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang lama di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan, khususnya jika terdapat individu dengan TB aktif yang belum menjalani rawatan. Bagaimanapun, risiko sebenar bergantung kepada beberapa faktor termasuk tempoh pendedahan, keadaan pengudaraan serta status kesihatan individu terlibat.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa Ramadan bukan punca penularan TB, namun peningkatan aktiviti sosial dan perhimpunan sepanjang bulan tersebut lazimnya menyebabkan interaksi dalam kalangan masyarakat bertambah.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup serta memakai pelitup muka jika bergejala atau berada di kawasan sesak. Mereka juga digesa mendapatkan pemeriksaan perubatan sekiranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu atau gejala berkaitan.

Kementerian menambah bahawa pendekatan kesedaran berasaskan komuniti amat penting bagi memastikan pengesanan awal, rawatan berkesan serta pencegahan penularan secara menyeluruh dapat dilaksanakan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment