BTS Media

Lonjakan pengguna punca elepas slgangguan teknikal aplikasi TuJu

PENINGKATAN mendadak jumlah pengguna dipercayai menjadi punca gangguan teknikal yang melanda apkikasi TuJu.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan penyedia aplikasi itu, Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB), bagi menangani masalah berkenaan serta memulihkan kestabilan sistem.

Menurut LLM dalam kenyataan pada hari Khamis (22 Okt), usaha turut dilakukan untuk mengenal pasti punca gangguan dan meningkatkan kapasiti aplikasi supaya mampu menampung jumlah pengguna yang lebih ramai.

LLM memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna, sambil memberi jaminan bahawa maklum balas orang ramai mengenai fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan akan dijadikan panduan bagi penambahbaikan seterusnya.

Pihak berkuasa itu berkata, penambahbaikan akan diteruskan bagi memastikan TuJu menawarkan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna.

Dilancarkan pada 26 November tahun lalu, TuJu dibangunkan oleh PCSB dengan kerjasama LLM sebagai aplikasi navigasi khusus untuk pengguna lebuh raya.

Selain panduan perjalanan, aplikasi itu turut menyediakan maklumat trafik semasa, kemudahan lebuh raya dan bantuan kecemasan bagi membantu pengguna sepanjang perjalanan.

LLM berkata, usaha memperkukuh aplikasi itu bukan sahaja tertumpu pada kestabilan sistem, malah meliputi fungsi navigasi, ketepatan maklumat serta keupayaannya memenuhi keperluan pengguna.

Selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara, LLM akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Kerja Raya, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta pihak berkaitan bagi memperkukuh ekosistem navigasi tempatan.

Kerjasama itu turut merangkumi usaha menangani isu keselamatan dan tadbir urus data, menurut LLM.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklum balas mengenai aplikasi berkenaan boleh menghubungi PCSB melalui e-mel feedback@prosignalconsortium.my.

Kerajaan sebelum ini menggalakkan orang ramai menggunakan TuJu sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.

Anwar sebelum ini mencadangkan penggunaan alternatif tempatan itu atas kebimbangan berkaitan keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat, dengan alasan aplikasi Waze tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.

– BTSMedia.my

Leave a Comment