BTS Media

Aplikasi carian Google tergendala, jejas puluhan ribu pengguna

 

Oleh Zainal AS Rashid

APLIKASI enjin carian Google hari ini tergendala buat seketika bagi sesetengah pengguna.

Kejadian itu, walaupun sekejap telah mencetuskan kemarahan dan sindiran dalam media sosial, justeru menggambarkan keadaan dunia tanpa kemudahan popular di dunia tersebut.

Laporan daripada pengguna, terutama dari Amerika Syarikat berhubung kejadian itu telah membanjiri laman pengesan aplikasi tergendala, Downdetector, lapor Bloomberg.

Fungsi pencarian Google terjejas dari sekitar pukul 9.00 malam waktu New York hari ini, dan menurut Downdetector, lebih 40,000 aduan diterima sejam kemudian.

Masalah ‘loading’ dan proses carian lembab turut dialami oleh pengguna di Taiwan dan Jepun.

Produk Google milik Alphabet Inc yang terkenal kerana dikatakan lebih tepat itu amat jarang mengalami masalah, selain kegagalan infrastruktur ‘backend’, seperti yang pernah berlaku pada Fastly dan perkhidmatan web Amazon tahun lepas.

Perkhidmatan semakin pulih pada kira-kira pukul 10.00 malam waktu New York.

Media AS melaporkan satu kejadian membabitkan bekalan elektrik di sebuah fasiliti Google di Iowa dikesan hari ini, yang menyebabkan tiga petugas mengalami kecederaan. Masih tidak dapat dipastikan sama ada kejadian itu ada kaitan dengan gangguan perkhidmatan carian.

-BTS Media

Leave a Comment