GAMBAR ATAS: (KIRI) Nicole Shanahan (KANAN) Sergey Brin / Foto: Wikimedia Commons & Bia Echo Foundation.
Oleh Zainal AS Rashid
Pengasas bersama Google dan orang keenam terkaya di dunia, Sergey Brin telah memfailkan perceraian daripada isterinya selama tiga tahun.
Tindakan itu menjadikan beliau bilionair ketiga berbuat demikian dalam beberapa tahun, selepas Bill Gates dan Jeff Bezos.
Brin memfailkan petisyen untuk membubarkan perkahwinannya dengan Nicole Shanahan bulan ini, atas alasan “perbezaan yang tidak dapat didamaikan,” menurut dokumen mahkamah.
Pasangan itu, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun, meminta mahkamah merahsiakan butiran perceraian mereka.
Mahkamah di Santa Clara, California diminta supaya berbuat demikian oleh pasangan itu memandangkan hubungan mereka yang ‘berprofil tinggi’ akan menarik perhatian awam berhubung krisis rumah tangga yang dianggap soal peribadi.
Menurut Bloomberg Billionaire’s Index, nilai kekayaan Brin, 48, dianggarkan berjumlah AS$94bil (RM413.74bil).
Sebahagian besar daripada kekayaan itu diperoleh daripada pegangannya dalam syarikat Google, yang diasaskan bersama Larry Page pada 1998, dan kemudian membawa kepada penubuhan syarikat Alphabet pada 2019.
Walaupun kedua-dua mereka telah meninggalkan Google, namun masing-masing masih mengekalkan kedudukan dalam lembaga pengarah.
Brin, sebelum ini pernah berkahwin dengan pengasas bersama syarikat bioteknologi ‘23andMe’, Anne Wojcicki. Mereka bercerai pada 2015.
Perceraian Brin kali ini menyusul setahun selepas pengasas Microsoft Bill Gates dan Melinda French Gates menamatkan perkahwinan mereka, dan tiga tahun selepas bilionair Jeff Bezos berpisah dengan isterinya Mackenzie Scott.
Semasa bercerai Bill Gates dan isterinya memiliki kekayaan berjumlah AS$145bil (RM638.21bil) yang kemudian dibahagikan oleh mahkamah, sementara Jeff Bezos dan MacKenzie Scott memiliki AS$137bil (RM603bil).
-BTS Media