KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataan, berkata hasil pemerhatian awal mendapati kelewatan LRT ini berpunca daripada kerosakan struktur jejambat akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.
“Rapid Rail bersama pakar struktur berada di kawasan terbabit bagi menilai serta memastikan keselamatan juga kekukuhan struktur.
“Pihak kami membuat keputusan untuk menutup laluan di antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya sehingga keselamatan dan kekukuhan dapat dipastikan, ” kata kenyataan itu.
Katanya, operasi LRT Ampang dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan dan akan menyebabkan kelewatan sebanyak sembilan minit di dalam daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar daerah perniagaan.
“Tren daripada Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat manakala tren daripada Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya serta perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik di antara Stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.
“Bagi menampung penumpang, perkhidmatan bas alternatif juga sudah diaktifkan. Penumpang boleh menggunakan bas dengan nombor pendaftaran WVH9594 dan W7486Q untuk ke Stesen Plaza Rakyat dari Stesen Bandaraya,” katanya.
Bagi penumpang yang ingin ke Stesen Bandaraya dari Stesen Plaza Rakyat, boleh menggunakan bas dengan nombor pendaftaran WUX5708 dan WVC3984 manakala untuk ke Stesen Bandaraya dari Stesen Sentul Timur bas PJJ7149 dan WUW1702 dan penumpang boleh menggunakan bas W3607T untuk ke Sentul Timur daripada Stesen Bandaraya.
Rapid Rail turut berkata, anggota polis bantuan sudah dikerahkan ke stesen utama bagi mengawal kesesakan.
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1056544/struktur-jejambat-rosak-landasan-bengkok-lrt-ampang-tergendala