Oleh Fetty Rara
SETIAUSAHA Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman calon tunggal Perikatan Nasional (PN) untuk melawan Zuraida Kamaruddin di kerusi Parlimen Ampang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
Doktor perubatan yang merupakan anak tempatan itu bakal menggempur kawasan yang dikuasai oleh Zuraida selama tiga penggal.
Menurut pemerhati, sentimen penduduk tempatan kini mahukan calon tempatan dan dengan mempertaruhkan Dr Maamor yang telah berkhidmat bagi penduduk Ampang selama lebih 30 tahun. Beliau dianggap paling layak untuk membantu menangani masalah rakyat sebagai ahli parlimen kelak.
Ramai penduduk berpendapat bahawa Zuraida telah gagal membawa banyak perubahan di Ampang, termasuk isu pendatang asing dan banjir kilat.
Pada 23 Okt lalu, Zuraida mengesahkan akan mempertahankan Parlimen Ampang pada PRU15 yang disandangnya sejak 2008.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama beliau akan bertanding atas tiket parti atau bebas susulan penggantungan keahliannya dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkuat kuasa 28 Okt.
Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR memenangi Parlimen Ampang dengan majoriti 41,956 undi dalam pertandingan empat penjuru – BN, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Beliau dipecat daripada PKR bersama bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali setelah menyertai Muhyiddin Yassin dan Bersatu. Pada Mei lalu, Zuraida keluar daripada Bersatu untuk menyertai PBM pada bulan yang sama.
PKR mempertaruhkan Exco Kerajaan Selangor Rodziah Ismail, manakala BN Ampang yang sebelum ini menolak PBM dan Zuraida untuk menyertai gabungan itu masih enggan memutuskan mengenai calon yang bakal diketengahkan di kawasan tersebut.
-BTS Media