BERASAL daripada keluarga petani di Kampung Nuluyan, Tenom, Sabah, tiga beradik lelaki membuktikan kesusahan hidup bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan apabila berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada hari yang sama.
Lebih membanggakan, kejayaan Wong Vui Keong, 32, bersama adik kembarnya, Vui Ken dan Vui Chen, kedua-duanya berusia 30 tahun, turut menjadi hadiah paling bermakna buat ibu bapa mereka.
Ketiga-tiga mereka adalah antara 5,081 graduan yang menerima skrol masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-28 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini, lapor NST.
Vui Keong berkata kejayaan mereka mendapat gelaran istimewa dalam kalangan ahli keluarga sebagai ‘Sentuhan Rezeki’, gelaran berseloroh yang diberikan saudara-mara kerana percaya menyentuh mereka bertiga boleh membawa tuah.
Katanya, setiap kali bertemu, ada ahli keluarga yang mahu menyentuh mereka dengan harapan mendapat rezeki dan nasib baik.
Beliau berkata kejayaan itu lebih bermakna kerana ketiga-tiga mereka terpaksa berusaha membiayai sendiri sebahagian besar pengajian yang menelan belanja puluhan ribu ringgit.
Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, mereka mengambil pekerjaan sambilan sebagai tutor di fakulti masing-masing bagi menampung yuran pengajian.
Katanya, bantuan kewangan daripada ibu bapa hanya diminta apabila keluarga mempunyai lebihan wang, memandangkan mereka memahami kesukaran yang dihadapi keluarga.
Vui Keong turut memaklumkan bahawa beliau beralih kepada pengajian secara separuh masa ketika tahun ketiga atau keempat, menyebabkan tempoh pengajian PhD beliau mengambil masa kira-kira tujuh tahun.
Beliau yang memperoleh PhD dalam bidang Ekonomi Kewangan berkata, mereka bertiga sebenarnya tidak pernah merancang untuk menamatkan pengajian pada waktu yang sama.
Bagaimanapun, kebetulan itu menjadikan detik konvokesyen mereka lebih istimewa kerana dapat meraikan kejayaan bersama-sama, sekali gus membanggakan kedua-dua ibu bapa.
Ketiga-tiga beradik itu kini berhasrat menceburi bidang akademik dan sudah mengemukakan permohonan untuk jawatan pensyarah di UMS serta beberapa institusi pengajian tinggi lain.
Bapa mereka, Wong Yun Loi, 68, menyifatkan kejayaan tiga anak lelaki bongsunya itu sebagai detik paling membanggakan sepanjang hidupnya.
-BTSMedia.my



