MAHKAMAH Sesyen memerintahkan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak autismenya berusia enam tahun, manakala bapanya dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Hakim Syahliza Warnoh memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira Abdul Manaf, tetapi gagal membuktikan elemen diperlukan untuk suaminya, Zaim Ikhwan Zahari membela diri.
Suami isteri itu berusia 30 tahun.
Ismanira diberi tiga pilihan, iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberi pernyataan tanpa sumpah atau berdiam diri.
Wanita itu memaklumkan mahkamah, dia akan memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Beberapa ahli keluarga dilihat memeluk Ismanira yang menangis selepas mahkamah berehat seketika untuk meneruskan perbicaraan.
Ismanira dan suaminya didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa berlaku di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis 2023 – apabila kanak-kanak terbabit dikatakan hilang – dan 9.55 malam keesokannya, apabila mayatnya ditemui di sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris serta Lavanesh Haresh mewakili pasangan itu.