PETUNJUK baharu membawa kepada penahanan ibu bapa budak autisme yang dibunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin, kata peguam mereka Mahmud Abdul Jumaat.
“Polis menyebut (petunjuk baharu) semasa prosiding permohonan reman di hadapan Majistret Ainaa Mohd Kamal,” katanya, lapor The Star.
Ditanya mengenai kemungkinan bukti baharu dalam siasatan atau kenyataan bercanggah ditemui, Mahmud berkata ia mungkin menjadi punca di sebalik penahanan itu.
“Apabila saya berjumpa mereka, mereka terkejut dan tidak menyangka akan dinamakan sebagai suspek pembunuhan anak mereka.
“Saya juga tidak menjangka perkara ini. Malah, saya percaya seluruh negara terkejut, tetapi saya percaya polis memohon reman itu untuk melengkapkan siasatan mereka,” katanya.
Mahmud kemudian menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai penahanan anak guamnya itu dan berharap semua pihak dapat bersabar dan berdoa agar mereka sekeluarga dapat melalui situasi ini.
“Siasatan masih dalam tempoh reman. Kita tidak tahu siapa yang akan didakwa akhirnya,” kata beliau.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata suspek direman sehingga Jumaat (7 Jun) bagi membantu siasatan berterusan kes pembunuhan anak lelaki mereka.
“Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka ditahan berdasarkan risikan dan petunjuk yang dikumpul dari hari pertama (siasatan) sehingga kini,” katanya.
Ini susulan mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya kira-kira pukul 8.50 pagi Sabtu.
Dengan berpakaian lokap berwarna jingga, mereka dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman di hadapan Majistret Azura Mohd Saad berhubung pembunuhan anak sulung mereka.
Sebelum ini dilaporkan bahawa ibu bapa mereka ditahan kira-kira pukul 10.05 pagi Jumaat (31 Mei) di Puncak Alam.
Pada 5 Dis tahun lepas, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun dilaporkan hilang di Damansara Damai dan mayatnya ditemui berhampiran sungai kira-kira 200m dari rumahnya di Apartment Idaman.
Bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya, membawa kepada kesimpulan bahawa dia telah dibunuh.
Semasa siasatan dijalankan, pasukan forensik polis menyisir lokasi mayat ditemui serta kawasan sekitar di Damansara Damai.
Pemeriksaan DNA secara besar-besaran juga dijalankan, dan 228 sampel telah dikumpulkan.
Saksi, termasuk mereka yang mendakwa kali terakhir melihat budak lelaki itu masih hidup, turut dibawa ke tempat kejadian untuk membantu penyiasat.
-BTS Media