BTS Media

Kecurian kabel jejas ETS, KTM Komuter utara

PERKHIDMATAN tren ETS serta KTM Komuter di laluan utara mengalami gangguan dan kelewatan susulan kejadian kecurian kira-kira 100 meter kabel di KM95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting.

Dalam kenyataan pada hari Selasa, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa kejadian tersebut menjejaskan sistem isyarat sekali gus mengganggu operasi tren di sektor utara.

Menurut KTMB, kecurian itu dikesan oleh anggota polis bantuan syarikat berkenaan pada awal pagi sebelum pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa kabel penting hilang sehingga menjejaskan fungsi sistem isyarat di laluan terbabit.

KTMB turut memaklumkan bahawa perkhidmatan KTM Komuter Utara mengalami kelewatan antara 23 hingga 40 minit, manakala tren ETS yang melalui laluan berkenaan dijangka lewat antara tiga hingga 90 minit.

Tambah kenyataan itu, pasukan teknikal KTMB menjalankan kerja pembaikan dan pemulihan bagi memastikan operasi tren dapat distabilkan serta perkhidmatan kembali pulih dalam kadar segera.

Penumpang dinasihat mendapatkan maklumat terkini mengenai status perjalanan dan kelewatan menerusi saluran media sosial rasmi KTMB atau berhubung terus dengan petugas di stesen.

KTMB turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kejadian kecurian kabel tersebut kerana ia bukan sahaja mengganggu operasi tren, malah boleh menjejaskan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sistem rel negara.

Dalam masa sama, KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang.

-BTSMedia.my

Leave a Comment