BTS Media

Penumpang Komuter, ETS masih boleh guna perkhidmatan KTMB, kata CEO

Oleh Yusoff A. Shariff

PENUMPANG Perkhidmatan Komuter dan Tren Elektrik (ETS) masih boleh menggunakan perkhidmatan KTMB melalui bas perantara antara stesen Sungai Buloh dan Serendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin berkata perkhidmatan sementara itu diaktifkan kerana semua tren yang melalui stesen Rawang terjejas kerana kerja pemulihan.

“Perkhidmatan Komuter di laluan KL Sentral-Tanjung Malim akan berhenti di stesen Sungai Buloh. Manakala laluan Tanjung Malim-KL Sentral berhenti di Stesen Serendah,” katanya.

“Bas perantara disediakan antara stesen Sungai Buloh dan stesen Serendah,” katanya pada sidang media di stesen kereta api Rawang pada hari Rabu (13 Dis).

Bagi perkhidmatan ETS di laluan Padang Besar-Gemas, Mohd Rani berkata tren akan berhenti di stesen Tanjung Malim.

“Penumpang akan diangkut bas perantara dari stesen Tanjung Malim ke stesen Sungai Buloh untuk meneruskan perjalanan ke KL Sentral dan Gemas dengan menaiki tren,” katanya.

Mohd Rani menambah, bagi laluan Gemas-KL Sentral-Butterworth dan Gemas-KL Sentral-Padang Besar, penumpang boleh menaiki tren ETS dari KL Sentral ke stesen Sungai Buloh.

“Kemudian mereka akan meneruskan perjalanan menaiki bas ke stesen Tanjung Malim untuk perjalanan ke destinasi utara masing-masing dengan menaiki ETS yang tidak terjejas,” katanya.

Mohd Rani berkata mereka yang ingin mendapatkan bayaran balik tiket boleh berbuat demikian secara dalam talian dan di kaunter.

Perkhidmatan tergendala akibat kren yang terjatuh di landasan berhampiran stesen Rawang pada pukul 5.55 petang Selasa (12 Dis).

Menurut  Mohd Rani, kren itu digunakan untuk membina projek tempat letak kereta bertingkat di sebelah stesen kereta api Rawang.

Beliau berkata kejadian yang menyebabkan perkhidmatan ETS dan operasi tren kargo terputus itu berlaku di KM355.749 landasan antara stesen Rawang dan Kuang.

-BTS Media

Leave a Comment