SEORANG pemandu bas berusia 55 tahun yang mempunyai 29 saman trafik tertunggak ditahan kerana dipercayai memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Km16 Jalan Genting Highlands, semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5.09 petang melibatkan dua bas ekspres dan sebuah MPV Perodua Aruz yang dalam perjalanan menuju ke ibu negara.
Beliau berkata, bas pertama dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Aruz dan kemudian merempuh bahagian belakang sebuah lagi bas ekspres.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, bas ekspres kedua hilang kawalan, terbabas dan terbalik di bahagian kiri jalan, manakala bas pertama terbabas ke bahagian kanan jalan.
Beliau berkata, kedua-dua bas itu masing-masing membawa 38 dan 36 penumpang termasuk pekerja asing sebuah kilang elektronik di Selangor yang dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Genting Highlands.
Siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu bas ekspres pertama yang dipercayai memandu secara melulu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, pemandu bas terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif.
Zaiham berkata, semakan turut mendapati pemandu itu mempunyai 29 saman trafik tertunggak atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian itu, namun lima penumpang bas terdiri daripada tiga warga Bangladesh, dua warga Nepal serta seorang penumpang MPV warga tempatan mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, kesemua enam mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
— BTSMedia.my



