SEBUAH bas persiaran musnah terbakar di Kilometer (KM) 20.2, Lebuhraya Maju (MEX), menghala ibu negara hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi pada 8.25 pagi.
“Komander operasi melaporkan api marak ketika mereka sampai di lokasi dan kebakaran memusnahkan 90 peratus bas.
“Dalam kejadian itu, kesemua 12 penumpang dan pemandu bas berjaya keluar dari bas sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penumpang dan pemandu dalam keadaan baik dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, penumpang dipindahkan ke sebuah bas lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.