BTS Media

Pembunuhan Zayn Rayyan: Polis tubuh pasukan petugas

GAMBAR: NST.

POLIS akan merekodkan semula kenyataan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin selepas bedah siasat hari ini mendedahkan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu dibunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

“Ya, kami akan merekodkan semula kenyataan ibu bapa mangsa (untuk membantu siasatan polis).

“Selain itu, kita juga telah menubuhkan ‘task force’ khas untuk memberi tumpuan dalam membantu siasatan kes ini,” katanya.

Sebelum ini, akhbar NST melaporkan polis sedang menyiasat kematian Zayn Rayyan sebagai kes pembunuhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan laporan bedah siasat hari ini.

Mayat kanak-kanak itu ditemui di sebatang sungai berhampiran kediamannya kira-kira pukul 10 malam oleh sekumpulan penduduk yang melakukan operasi mencari bersama polis.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di pinggir sungai yang terletak kira-kira 200m dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa (5 Dis), dan kali terakhir dia dilihat adalah ketika dia memasuki kawasan semak berhampiran Apartment Idaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid, berkata pasukan penyiasat akan memeriksa semula lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan untuk mengumpul bukti dan petunjuk baharu.

Beliau berkata, polis juga akan memanggil semua saksi terdekat kes ini termasuk ibu bapa, jiran dan orang awam yang terserempak dengan mangsa malam tadi.

“Polis sedang giat berusaha mengenal pasti suspek sejak mayat mangsa ditemui.

“Kita juga akan pergi ke lokasi mangsa ditemui untuk melihat jika terdapat sebarang petunjuk baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara, Selangor hari ini.

-BTS Media