BTS Media

Hanna Yeoh akan dipanggil polis

Oleh Yusoff A. Shariff

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan dipanggil polis untuk bagi membantu siasatan berhubung program “Jom Ziarah Gereja” anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata selain Hannah, polis juga akan merakam keterangan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard hari ini bagi membantu siasatan.

“Kita sudah merakam keterangan tiga individu, terdiri pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan,” lapor Berita Harian.

Beliau berkata, setakat ini dua laporan polis telah diterima.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, mengesahkan bahawa polis telah  membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran program tersebut.

Menurut beliau, walaupun program itu dibatalkan, namun pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 14 Mac lalu, Hannah menjelaskan bahawa program “Jom Ziarah Gereja”, yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu, tidak membabitkan individu beragama Islam.

Beliau dilaporkan berkata, program itu bertujuan memberi gambaran bahawa semua agama dianuti rakyat adalah sama rata.

Program tersebut merupakan inisiatif “Projek Artikel 11” yang diterajui Impact Malaysia, iaitu NGO bernaung bawah KBS.

Program sepatutnya berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, tetapi telah dibatalkan penganjur.

-BTS Media

Leave a Comment