Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pengurusan tertinggi serta kakitangan Penjara Taiping yang didakwa terbabit dalam salah guna kuasa dan pelbagai salah laku seperti didedahkan menerusi inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan hasil hasil inkuiri itu sebagai sesuatu yang memalukan dan membimbangkan, selain mendakwa pihak pengurusan penjara tidak boleh mengelakkan tanggungjawab terhadap dakwaan cuba menutup kejadian keganasan, penyediaan laporan palsu serta penyalahgunaan senjata yang berlaku di situ.
Beliau turut mendesak agar individu yang terlibat dikenakan hukuman sewajarnya, termasuk penggantungan tugas, tindakan tatatertib dan pendakwaan jenayah sekiranya didapati bersalah.
Menurutnya lagi, negara tidak boleh membiarkan institusi penjara menjadi tempat tahanan didera dan dibungkam.
Semalam, SUHAKAM mendedahkan penemuan inkuiri berhubung rusuhan membabitkan lebih 100 banduan di Penjara Taiping pada bulan Januari tahun lalu yang mengakibatkan kematian seorang tahanan.
Pengerusi Suhakam, Hishamudin Yunus, dilaporkan Malaysiakini berkata panel inkuiri mendapati bahawa beberapa bentuk penderaan fizikal dilakukan kakitangan penjara terhadap banduan ketika kejadian, termasuk menumbuk, menendang dan menyembur serbuk lada ke atas tahanan yang digari.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati anggota penjara menggunakan senjata seperti cotar secara berlebihan sehingga menyebabkan kecederaan serius, termasuk luka di kepala dan patah anggota badan.
Inkuiri berkenaan dijalankan susulan kematian seorang banduan, Gan Chin Eng, yang didakwa meninggal dunia selepas diserang ketika rusuhan pada 17 Januari tahun lalu.
Selain itu, panel yang turut disertai pesuruhjaya Suhakam, Farah Nini Dusuki, mengesan beberapa bentuk kecuaian selepas kejadian, antaranya kelewatan mendapatkan rawatan perubatan, salah diagnosis serta penyalahgunaan peralatan pemeriksaan kesihatan.
Panel sama turut mengenal pasti unsur pemalsuan dokumen dalam rekod perubatan banduan..
-BTSMedia.my



