BTS Media

Polis dijangka rakam keterangan Azam Baki berhubung dakwaan ugutan

POLIS dijangka merakam keterangan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki, dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan yang dibuat ahli perniagaan Albert Tei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata Tei membuat laporan polis pada 13 Mei lalu dengan dakwaan dia menerima ugutan daripada peguam mewakili Azam, lapor NST.

Beliau berkata, polis sudah merakam dua keterangan daripada Tei serta peguam yang didakwa membuat ugutan tersebut.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Sebelum ini, Tei mendakwa Azam mengugut menerusi peguam berhubung pertikaian serta siasatan yang sedang berjalan, namun tidak memperincikan perkara itu.

Siasatan berkenaan dibuat susulan dakwaan terbuka Tei bahawa Azam mengugut, menghalang dan menganiayainya ketika dia cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah pada bulan November tahun lalu.

Tei turut mendakwa dia mempunyai bukti termasuk rekod komunikasi dan saksi bagi menyokong dakwaan tersebut.

Dalam kenyataannya pada 13 Mei lalu, Tei mengesahkan individu yang didakwa mengugut, menghalang dan menganiayainya ketika cuba mendedahkan skandal rasuah Sabah ialah Azam Baki.

Beliau turut mendakwa tuduhan itu bukan dibuat secara melulu kerana mempunyai bukti termasuk rekod komunikasi dan senarai saksi yang mengetahui perkara berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment