KESATUAN Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam tindakan seorang menteri mengugut wartawan susulan soalan mengenai penggunaan bahasa Inggeris untuk tema pelancongan pada satu acara rasmi.
Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohamed Yusof berkata kejadian yang dipercayai melibatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu dilihat sebagai cubaan menakutkan dan menekan kebebasan media, sedangkan wartawan berkenaan bertanya secara profesional.
Kejadian berlaku ketika prapelancaran projek “I Lite U” sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana menteri berkenaan berkata beliau akan menghubungi ketua pengarang wartawan terbabit selepas ditanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris.
NUJM menegaskan wartawan berhak bertanya tanpa ancaman, sementara Geramm mengingatkan bahawa soalan wartawan adalah sebahagian proses semak dan imbang dalam demokrasi, dan pemimpin harus menghormati peranan media.
–BTSMedia.my



