PELAKON dan penyanyi Bella Astillah sah bergelar isteri Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas pasangan itu diijabkabulkan pada pukul 10.41 pagi ini.
Majlis pernikahan berlangsung di tingkat 118 bangunan Merdeka 118 Precinct, Kuala Lumpur, dengan hanya ahli keluarga dan rakan rapat dijemput menghadiri upacara berkenaan.
Bella, 32, yang nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, dan Syed Saddiq, 33, tampil sedondon dalam persalinan putih dengan sentuhan unsur Arab dan Islamik.
Syed Saddiq melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz, manakala upacara itu disempurnakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang bertindak sebagai wakil kepada bapa pengantin perempuan, Awang Astillah Abdullah atau Dullah.
Pasangan itu turut bertukar-tukar hantaran dengan Syed Saddiq memberikan mas kahwin sebanyak RM500 berserta tujuh dulang hantaran, manakala Bella membalas dengan sembilan dulang.
Antara hantaran pengantin lelaki yang mencuri perhatian ialah perlindungan insurans, emas berbentuk Gunung Kinabalu, gim peribadi, kerusi urut, basikal, pakej pengajian, pakej umrah serta caruman seumur hidup berjumlah RM100,000 kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Hantaran Bella pula merangkumi sebentuk cincin yang ditempah khas, kasut mewah, buku elektronik, cermin mata, coklat, beg komputer riba, emas dengan lambang Ironman Malaysia, senaskhah al-Quran, set minyak wangi serta tiket menyertai perlumbaan Ultraman Australia 2027.
Majlis turut dihadiri beberapa tokoh kenamaan, termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bella dan Syed Saddiq bertunang pada 28 Mac lalu sebelum melangkah ke alam perkahwinan hari ini.
Bella sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, pada bulan September tahun 2016. Pasangan itu bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali bersama, namun akhirnya berpisah sekali lagi pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan terdahulu itu, Bella dikurniakan dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
-BTSMedia.my



