SEORANG saksi pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi hari ini mengaku bahawa beliau memberi keterangan terhadap Ahli Parlimen Muar itu untuk mengelak daripada “didakwa bagi kes lain”.
Abdul Hannaan Khairy ditanya oleh peguam bela Gobind Singh Deo sama ada beliau bersetuju memberi keterangan terhadap Syed Saddiq di mahkamah kerana takut didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes lain.
Hannaan pada mulanya meminta kebenaran daripada hakim Azhar Abdul Hamid untuk pergi ke tandas, tetapi menjawab “ya” apabila diarahkan menjawab soalan itu terlebih dahulu.
Beliau turut mengaku dipanggil SPRM berkali-kali, namun tidak ingat berapa kali.
Beliau mengakui berasa takut setiap kali dipanggil SPRM untuk memberikan kenyataan berhubung kes Syed Saddiq kerana beliau juga akan disoal siasat mengenai kes-kes lain, dan beliau bimbang akan turut didakwa berhubung kes-kes tersebut.
Hannaan pernah menjadi ahli Pemuda Bersatu dan bertanding di kerusi DUN Kayang di Perlis pada pilihan raya umum ke-14, namun dipecat daripada parti pada Ogos 2020.
Syed Saddiq, yang juga bekas menteri belia dan sukan dan pernah menjadi Ketua Pemuda Bersatu, sedang dibicarakan atas empat tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan dana, dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM1 juta milik Pemuda Bersatu.