BTS Media

Keputusan sama ada Syed Saddiq bebas atau perlu bela diri diketahui esok

GAMBAR ATAS: FACEBOOK Syed Saddiq.

 

SAMA ADA penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan atau dipanggil untuk membela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram akan diketahui esok di Mahkamah Tinggi di Kusls Lumpur.

Keputusan dijadualkan dibaca pada pukul 9.30 pagi oleh Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid.

Jika keputusan mahkamah memihak kepada pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Syed Saddiq, 29, beliau akan dipanggil membela diri, dan jika tidak Presiden parti MUDA itu akan dilepas dan dibebaskan.

Pendakwaan Pada 27 September lalu menutup kesnya setelah selesai memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 21 Jun, manakala pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Oktober.

Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim Razali, iaitu bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) serta Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini di antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya, ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, iaitu hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

-BTS Media

Leave a Comment