Oleh Zainal AS Rashid
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berkata peruntukan bagi kawasannya telah ditarik balik.
Beliau berkata, ini berlaku sejurus selepas beliau keluar daripada blok kerajaan di Parlimen.
Menurut beliau, perkara itu telah dimaklumkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
“Saya mendapat pengesahan daripada ICU bahawa sebaik sahaja saya menyertai blok (Pembangkang) ini, peruntukan telah ditarik balik dan dikosongkan.
“Daripada peruntukan RM3.8 juta untuk Ahli Parlimen kerajaan, RM2 juta boleh diperuntukkan untuk membina dewan, membaiki sekolah, dan membantu golongan miskin.
“Persoalannya ialah bagaimana Ahli Parlimen kerajaan boleh mendapat (hampir) RM4 juta tetapi Ahli Parlimen Pembangkang mendapat sifar,” tanya Syed Saddiq di Dewan Rakyat pada Selasa (19 Sept), lapor The Star.
Syed Saddiq membangkitkan isu itu selepas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya tidak menghentikan sebarang pembinaan infrastruktur di mana-mana negeri.
Pada 10 Sept, Syed Saddiq, yang merupakan presiden MUDA, berkata beliau telah keluar daripada blok kerajaan perpaduan selepas secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hati dengan pemberhentian mendadak perbicaraan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah.
Syed Saddiq berkata tiada penjelasan yang memuaskan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung penarikan balik 47 pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid.
Tindakan beliau melintas lantai untuk bersama pembangkang di parlimen telah menyebabkan kerajaan perpaduan kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Pada masa ini, kerajaan perpaduan mempunyai 147 ahli parlimen.
-BTS Media