BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bahawa beliau menyokong pemberian subsidi petrol RON95 kepada warga asing.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan Anwar di Dewan Rakyat dua hari lalu itu tidak benar sama sekali.
Semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin mendesak Anwar agar menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf.
Beliau berkata, sebagai seorang sahabat, beliau percaya Anwar mungkin melakukan kesilapan dan oleh itu, tidak sukar baginya untuk mengakui kesalahan tersebut.
Muhyiddin juga berkata bahawa beliau akan merujuk Anwar (PH-Tambun) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Anwar sebelum ini berkata Muhyiddin mempertahankan pemberian subsidi minyak kepada warga asing, namun Muhyiddin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Berikutan itu, Anwar dilapor telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin.
Muhyiddin mempertikaikan mengapa Anwar membuat dakwaan tanpa siasatan terlebih dahulu.
Beliau menyifatkan tindakan mengarahkan SKMM untuk menyiasatnya sebagai penyalahgunaan kuasa, memandangkan isu tersebut adalah peribadi yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri terhadapnya.
Muhyiddin turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau telah menerima surat daripada SKMM yang memintanya hadir memberi keterangan sebagai saksi dan mempersoalkan mengapa SKMM tidak menyiasat Perdana Menteri terlebih dahulu.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengesahkan arahan kepada SKMM untuk menyiasat punca maklumat tersebut.
Walau bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan bahawa siasatan SKMM sepatutnya bermula dengan menyiasat Anwar, kerana kenyataan itu datang daripada beliau sendiri.
Muhyiddin mengulangi bahawa kenyataan Anwar adalah fitnah dan menegaskan bahawa ia tidak mempunyai imuniti di sisi undang-undang atau agama.
-BTS Media