Kononnya Muhyiddin ditolak rakyat tidak betul kerana Muhyiddin berundur setelah 15 Ahli Parlimen BN diketuai Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan mereka terhadap kepimpinan beliau.
Oleh Fetty Rara
Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri jika parti itu memenangi mandat untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut ahli majlis Datuk Razali Idris, Muhyiddin, yang juga presiden parti merupakan calon paling layak untuk jawatan tertinggi itu kerana telah membuktikan kemampuannya semasa menjadi perdana menteri kelapan selama 17 bulan.
Razali berkata alasan kononnya Muhyiddin ditolak rakyat tidak betul kerana Muhyiddin berundur setelah 15 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang diketuai Ketua Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menarik balik sokongan mereka terhadap kepimpinan beliau, lapor Berita Harian pada Jumaat.
“Muhyiddin akan dicadangkan sebagai calon perdana menteri kerana beliau presiden parti, tidak seperti UMNO yang memilih naib presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” kata Razali.
-BTS Media