BTS Media

Sebulat suara: 185 NGO Islam sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri

SEJUMLAH 185 Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong penuh pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) untuk memimpin negara dan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata gabungan parti PN yang terdiri daripada BERSATU, PAS dan Gerakan mampu membentuk sebuah negara yang bersih dan berintegriti.

“Amat gusar melihat sokongan politik orang Melayu berpecah dalam PRU ke-15 ini dan kesannya DAP akan menguasai Kerajaan Malaysia melalui gabungan parti Pakatan Harapan.

“Sehubungan itu UMMAH dan Gabungan NGO Islam menyeru dan merayu Umat Islam seluruh Malaysia agar wajib (Fikh Al-Daulah) keluar mengundi dan menyatukan undi hanya kepada satu gabungan parti yang jelas mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, serta bersih daripada rasuah, berwibawa dan berusaha memperkasa penyatuan ummah,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan penilaian parti-parti yang bertanding, Mohd Zai percaya Muhyiddin menepati syarat sebagai seorang pemimpin yang mampu menjaga kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Perbandingan dua calon Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin lebih memenuhi kriteria menjaga agama, bangsa dan negara serta menghormati bangsa dan agama yang lain

“Berdasarkan prestasi yang lepas Muhyiddin berjaya mengurus tadbir negara dengan baik dan berjaya mengemudi negara ketika berdepan dengan masalah besar pandemik Covid-19 dan kesuraman ekonomi negara,” jelasnya.

-BTS Media

Leave a Comment