BTS Media

Masih berlaku?Imigresen KL siasat dakwaan sindiket guna ‘counter-setting’ dapatkan pas khas

GAMBAR: Malaysiakini

JABATAN Imigresen Kuala Lumpur membuka siasatan terhadap dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam pengeluaran pas khas di ibu pejabatnya di Jalan Duta, Kuala Lumpur, susulan pendedahan media mengenai kegiatan sindiket jenayah yang didakwa memintas prosedur ditetapkan.

Dalam kenyataan pada hari Sabtu, 17 Oktober, jabatan itu memaklumkan bahawa Bahagian Integritinya akan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan berhubung ketidakaturan dalam pengeluaran pas berkenaan.

Jabatan itu menegaskan bahawa sebarang salah laku tidak akan dikompromi dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan menemukan bukti pelanggaran undang-undang atau peraturan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas satu laporan pendedahan yang diterbitkan pada hari sama mendakwa sebuah sindiket jenayah berjaya mendapatkan pas khas untuk warga asing tanpa mematuhi prosedur sewajarnya melalui kaedah yang dikenali sebagai counter-setting.

Jabatan Imigresen Kuala Lumpur turut menasihatkan orang ramai supaya berurusan menerusi saluran rasmi dan mengelakkan penggunaan orang tengah yang tidak dibenarkan bagi mengurangkan risiko penyelewengan.

Menurut jabatan itu, komitmen terhadap integriti, ketelusan dan profesionalisme akan terus dipertahankan bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap jabatan berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment