BTS Media

Mahasiswa UM cabar KJ, MB Selangor dan Johor: Mana ketegasan lawan rasuah?

SEJAUH mana ketegasan pemimpin politik dalam menentang rasuah jika skandal Tabung Haji dan kutipan derma untuk membantu bekas Perdana Menteri, Najib Abdul Razak, membayar denda RM50 juta masih menimbulkan persoalan?

Persoalan itu dibangkitkan mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, ketika mencabar pendirian bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, dalam satu dialog anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi pada Isnin.

Dia mempersoalkan bagaimana generasi pemimpin akan datang dapat dididik supaya berani menentang rasuah, menolak budaya feudal dan berfikir secara kritis berdasarkan fakta serta data statistik jika isu integriti terus menjadi pertikaian dalam kalangan pemimpin politik sendiri.

Ummi turut menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan mengutip derma bagi membantu Najib membayar denda berkenaan, dengan mengaitkannya kepada kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menjawab persoalan itu, Khairy mengakui bahawa pemimpin tidak sepatutnya takut mengkritik rasuah walaupun kesalahan tersebut membabitkan pemimpin daripada kelompok mereka sendiri.

Beliau menegaskan bahawa salah tetap salah, manakala salah urus tidak seharusnya dipertahankan hanya kerana pelakunya pernah memegang jawatan dalam kerajaan.

Menurutnya, setiap pihak yang berdepan kes berkaitan integriti perlu menjawab dakwaan terhadap mereka, dan prinsip berkenaan tidak boleh dikompromikan demi kepentingan politik.

Bagaimanapun, pendirian Khairy ketika skandal 1MDB mula mencetuskan kontroversi pernah menjadi perhatian.

Ketika itu, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai keupayaan 1MDB membayar hutangnya, tetapi turut menafikan dakwaan rasuah berhubung wang AS$681 juta, yang ketika itu bersamaan kira-kira RM2.6 bilion, yang dikatakan dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Khairy, seperti beberapa anggota Kabinet ketika itu, turut mempertahankan penjelasan bahawa wang berkenaan merupakan sumbangan politik daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Khairy mula mengkritik Najib dan skandal 1MDB dengan lebih terbuka.

Rasuah barah yang menghalang kemajuan

Sementara itu, Amirudin menyambut baik keprihatinan golongan muda terhadap isu rasuah dan mengakui bahawa masalah itu sudah lama membelenggu negara.

Onn pula menyifatkan rasuah sebagai barah yang menghalang kemajuan, tetapi menegaskan bahawa usaha membanterasnya mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten.

Beliau berpandangan bahawa agensi penguatkuasaan tidak seharusnya diperalatkan untuk kepentingan politik, sebaliknya undang-undang mesti dikuatkuasakan tanpa mengira parti yang dianggotai seseorang.

Bagaimanapun, Onn mendakwa perkembangan politik sejak beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan berlakunya penganiayaan politik dan pendakwaan terpilih.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin Islam yang mengkhianati amanah melalui rasuah atau penyalahgunaan kuasa tetap perlu menjawab perbuatan mereka di hadapan Allah, walaupun terlepas daripada tindakan undang-undang di dunia.

Dalam dialog sama, Khairy turut menjawab persoalan pemimpin mahasiswa UM, Aiman Izzat Shamsuddin, mengenai sama ada pemimpin perlu mengutamakan keputusan pantas atau keputusan yang betul.

Menurut Khairy, ramai ahli politik takut membuat keputusan sukar kerana bimbang kehilangan sokongan dan tewas dalam pilihan raya.

Beliau menyifatkan kecenderungan mengutamakan pilihan raya seterusnya berbanding kepentingan generasi akan datang sebagai antara kelemahan utama dalam politik.

Bagaimanapun, Khairy mengakui bahawa melaksanakan prinsip berkenaan bukan sesuatu yang mudah apabila seseorang sudah memegang kuasa.

Beliau berkata, walaupun setiap Perdana Menteri mungkin mahu melakukan perkara yang betul, keupayaan untuk melaksanakannya turut bergantung pada kekuatan politik dan kemampuan memperoleh sokongan yang mencukupi.

Khairy merujuk pentadbiran pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh pemimpin yang mempunyai kekuatan politik untuk melaksanakan keputusannya.

Menurutnya, keadaan politik semasa yang menyaksikan tiada parti mampu memperoleh majoriti mutlak dengan mudah menyebabkan pemimpin semakin berhati-hati dan takut mengambil risiko.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat memilih pemimpin yang berani membuat keputusan berlandaskan prinsip, meskipun tindakan tersebut boleh menyebabkan mereka kehilangan kuasa.

Khairy berkata, pengalamannya sendiri menghadapi kekalahan membuktikan bahawa seseorang pemimpin tidak seharusnya terlalu takut kehilangan jawatan sehingga mengorbankan prinsip demi kelangsungan politik.

-BTSMedia.my

 

Leave a Comment