BTS Media

SPRM tahan enam pegawai pihak berkuasa tempatan di Selangor disyaki terima rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan enam pegawai serta seorang bekas pegawai penguat kuasa sebuah pihak berkuasa tempatan di Selangor kerana disyaki menerima rasuah sebagai balasan mempercepatkan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan.

Menurut sumber yang dipetik The Star, kesemua tujuh suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari pada hariSelasa (10 Feb) di sekitar Lembah Klang.

Sumber berkenaan memaklumkan bahawa mereka turut disyaki menerima rasuah daripada pemilik perniagaan sebagai balasan untuk melindungi syarikat tertentu daripada tindakan undang-undang.

Hasil siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek dipercayai telah berpakat melakukan kesalahan tersebut antara tahun 2019 hingga 2023.

Mereka juga dipercayai menerima rasuah bulanan antara RM500 hingga RM15,000 melalui pemindahan wang ke akaun peribadi masing-masing daripada dua pemilik syarikat.

Mahkamah Majistret Shah Alam telah mengeluarkan perintah reman selama empat hari sehingga 14 Feb terhadap semua suspek selepas permohonan dibuat oleh SPRM pada hari Rabu (11 Feb) pagi. Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-BTSMedia.my

Leave a Comment