BTS Media

Gandar tercabut ketika dipandu, Chery panggil semula Omoda 5

CHERY Malaysia panggil semula kenderaan Omoda 5 varian C dan H susulan kejadian gandar belakang sebuah kereta model itu tercabut ketika dipandu di jalan raya di Johor.

Syarikat pengeluar kenderaan itu memaklumkan bahawa kempen tersebut akan melibatkan pemeriksaan terhadap kenderaan terjejas serta penggantian komponen yang dikenal pasti bermasalah, jika perlu.

Chery Malaysia turut menggesa pemilik Omoda 5 supaya membawa kenderaan masing-masing ke pusat servis sah syarikat itu bagi menjalani pemeriksaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, syarikat itu memohon maaf kepada semua pihak yang terjejas.

Arahan panggil semula itu dikeluarkan beberapa jam selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengarahkan Chery mengambil tindakan susulan kejadian tersebut.

JPJ turut menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model Omoda 5 keluaran pengeluar dari China itu, sekali gus menghentikan pendaftaran baharu bagi model dan varian terlibat sehingga siasatan teknikal selesai serta risiko keselamatan dikenal pasti sepenuhnya.

Menurut JPJ, audit teknikal akan dijalankan bagi meneliti pematuhan terhadap amalan pengilangan yang baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan.

Penggantungan VTA itu hanya akan ditarik balik selepas semua langkah pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya.

Kejadian terbaharu itu turut mengimbau kejadian serupa yang pernah melibatkan Omoda 5 kira-kira dua tahun lalu.

Laman web automotif Paul Tan melaporkan bahawa kejadian terdahulu itu mendorong Chery Malaysia melaksanakan kempen panggil semula membabitkan 600 unit kenderaan berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment