Oleh Yusoff A. Shariff
MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan permohonan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi supaya pasport beliau dikembalikan kepadanya secara kekal.
Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak pagi ini.
Presiden UMNO itu telah membawa perkara tersebut ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu awal bulan ini.
Pada 3 Feb lepas, Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang dinaikkan ke mahkamah rayuan baru-baru ini, menolak permohonan Zahid, tetapi membenarkan dokumen itu dikembalikan buat sementara waktu kepada Zahid bagi membolehkannya memohon pasport diplomatik.
Sequerah, dalam keputusannya, berkata Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan tidak boleh ada keistimewaan, tidak kira kedudukan di bawah undang-undang.
Pasport ahli parlimen Bagan Datuk itu dirampas mahkamah selepas didakwa atas pelbagai pertuduhan rasuah membabitkan yayasannya, Yayasan Akalbudi.
Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan, termasuk 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan RM31 juta dana Yayasan Akalbudi.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, dia didakwa menggunakan dana itu untuk membuat pembayaran kad kredit peribadi, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak polis.
Pertuduhan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.
-BTS Media