KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya pasport antarabangsanya dikembalikan secara kekal, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, membenarkan pasport itu untuk diserahkan sementara bagi membolehkan Ahmad Zahid membuat pasport diplomatik untuk urusan rasmi.
Ahmad Zahid membuat permohonan itu dengan niat baik yang hanya bertujuan memohon kebenaran bagi pelepasan pasport antarabangsa supaya dapat menjalankan tugas rasmi.
Pasport itu sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.
Dalam afidavit sokongan menerusi permohonannya, untuk mengetepi syarat jaminan tambahan difailkan 20 Januari lalu, Ahmad Zahid berkata, beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada dokumen itu.