SEKUMPULAN Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang PKR Shah Alam bersama pimpinan wanita cabang itu mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran mereka daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, kumpulan berkenaan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti serta Ketua Cabang Shah Alam, Najwan Halimi.
Mereka mendakwa kepimpinan parti, khususnya Presiden PKR, gagal menunaikan janji reformasi dalam amalan sebenar selain tidak mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi dalaman yang sebelum ini menjadi asas perjuangan parti.
Kumpulan itu turut menyuarakan kekecewaan terhadap kepimpinan Najwan yang didakwa tidak mengamalkan prinsip konsultasi dan kebersamaan dalam proses membuat keputusan di peringkat cabang.
Menurut kenyataan tersebut, AJK cabang yang dipilih melalui pemilihan parti juga didakwa tidak dirunding atau dilibatkan dalam beberapa keputusan penting termasuk pelantikan politik dan urusan organisasi cabang.
Mereka turut mendakwa beberapa keputusan dibuat tanpa perbincangan rasmi bersama AJK yang dipilih walaupun proses konsultasi dan penghormatan terhadap mandat pimpinan diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
Kumpulan itu berkata mereka percaya sesebuah parti politik perlu mengamalkan nilai reformasi dan demokrasi yang diperjuangkan kepada rakyat, namun mendakwa prinsip tersebut tidak lagi diamalkan secara konsisten dalam PKR ketika ini.
Kenyataan itu turut disertakan dengan senarai 21 nama AJK dan pimpinan wanita PKR cabang berkenaan yang mengambil keputusan meninggalkan parti.
Tindakan tersebut merupakan kali kedua pengunduran beramai-ramai melibatkan pimpinan akar umbi PKR dalam tempoh seminggu.
Pada 21 Mei lalu, Jawatankuasa Pemuda PKR (AMK) Cabang Pandan terbubar selepas 19 ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan.
Perkembangan itu berlaku selepas bekas menteri PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan keluar parti pada 17 Mei lalu sebelum mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
-BTSMedia.my



