BTS Media

Adly cabar BN kemuka bukti dakwaan 97 peratus manifesto terlaksana

PAKATAN Harapan (PH) Melaka mencabar Barisan Nasional (BN) supaya mengemukakan perincian lengkap berserta dokumen sokongan bagi membuktikan dakwaan bahawa 97 peratus daripada manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 telah berjaya dilaksanakan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh, perlu menyertakan senarai lengkap status pelaksanaan kesemua 103 inisiatif yang terkandung dalam lima teras manifesto berkenaan.

Beliau berkata, kaedah pengiraan peratusan pencapaian itu juga perlu didedahkan kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan, khususnya ketika kempen pilihan raya berlangsung.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media di Melaka, pada hari Ahad.

Selain pencapaian manifesto, beliau turut mempersoalkan pengurusan kewangan kerajaan negeri dengan merujuk Laporan Ketua Audit Negara yang merekodkan hasil Melaka sebanyak RM490 juta berbanding perbelanjaan RM519 juta pada tahun 2024.

Menurutnya, angka itu menunjukkan perbelanjaan kerajaan negeri melebihi hasil yang diperoleh, sekali gus menuntut pengurusan kewangan yang lebih berhemah serta setiap perbelanjaan disokong rekod dan hasil yang boleh disahkan.

Sebagai perbandingan, Adly mendakwa pentadbiran PH pada tahun 2019 berjaya mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM50 juta, termasuk melalui belanjawan lebihan dan perbelanjaan sebenar yang turut menghasilkan lebihan.

Katanya, peningkatan hasil negeri sahaja tidak mencukupi sekiranya pengurusan perbelanjaan tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Mengulas hala tuju PH menerusi gagasan Melaka Rumah Kita, beliau berkata gabungan itu mahu membentuk pentadbiran yang bersih, telus dan bertanggungjawab, selain memastikan wang awam diuruskan secara berhemah.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk mengurangkan kerenah birokrasi, terutama dalam urusan permohonan bantuan kerajaan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurutnya, setiap skim bantuan perlu mempunyai syarat permohonan, tempoh pemprosesan dan alasan keputusan yang jelas supaya rakyat tidak perlu bergantung kepada orang tengah atau hubungan politik untuk mendapatkan kelulusan.

Mengambil contoh bantuan kebajikan, Adly berkata PH sebelum ini telah memudahkan proses permohonan dengan menyalurkan bayaran terus ke akaun bank penerima serta membolehkan agensi berkaitan meluluskan permohonan tanpa memerlukan sokongan tambahan daripada pihak politik.

Beliau berkata prosedur yang mewajibkan pengesahan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), diikuti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), hanya menyukarkan urusan rakyat.

Sebaliknya, katanya, penilaian kelayakan bantuan sewajarnya dilaksanakan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdasarkan kriteria ditetapkan, bukannya bergantung kepada ADUN atau wakil JPKK.

Adly menegaskan kerajaan negeri sebagai lapisan pentadbiran paling hampir dengan rakyat perlu memastikan sistem bantuan dilaksanakan secara telus, manakala agensi kerajaan bertindak lebih pantas terhadap keperluan masyarakat.

-BTSMedia.my

Leave a Comment