PENGGUNA telefon bimbit diingatkan supaya berhati-hati dengan fail ZIP yang diterima menerusi aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram kerana ia berkemungkinan mampu mencuri kata laluan, maklumat perbankan dan data peribadi.
Timbalan Dekan (Akademik dan Teknologi), Malaysian Institute of Information Technology, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIIT), Dr Shafiza Mohd Shariff, berkata perisian itu boleh merekod cara pengguna menaip, mengumpul maklumat log masuk, mengakses data dalam peranti serta memantau aktiviti pengguna, khususnya ketika menggunakan aplikasi kewangan.
Malah, katanya, penjenayah siber berpotensi mengalihkan kod Transaction Authorisation Code (TAC) ke telefon mereka sendiri sekiranya mangsa menggunakan aplikasi yang masih bergantung kepada kaedah pengesahan itu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya menghubungi pengirim bagi mengesahkan kesahihan fail mencurigakan, selain mengelak daripada memuat turun atau membuka lampiran daripada individu tidak dikenali.
Beliau turut mengesyorkan pemasangan perisian antivirus dan memastikan ia sentiasa aktif di latar belakang bagi mengesan serta mengasingkan fail berbahaya.
Pada 29 Oktober lalu, Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT) mengeluarkan amaran mengenai kempen pengedaran fail berniat jahat yang menyamar sebagai dokumen kewangan dan pembayaran menerusi WhatsApp.
Menurut MyCERT, fail ZIP berkenaan menyamar sebagai invois, penyata akaun, penyata elektronik dan dokumen pembayaran, dengan penerima diminta membuka atau mengekstraknya menggunakan komputer.
Analisis mendapati program yang terkandung dalam fail itu boleh memasang perisian hasad kawalan jauh pada komputer Windows, sekali gus membolehkan penyerang mengambil alih kawalan peranti mangsa.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dalam nasihat keselamatan pada 4 November, turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko fail ZIP, lampiran dan pautan mencurigakan yang diedarkan menerusi WhatsApp.
Menurut MCMC, penipu mungkin menyamar sebagai individu dikenali atau pihak dipercayai untuk memperdaya pengguna supaya membuka fail atau pautan berkenaan, sekali gus mendedahkan mereka kepada jangkitan perisian hasad, kebocoran maklumat peribadi, akses tanpa kebenaran kepada peranti dan akaun WhatsApp serta pengambilalihan akaun.
-BTSMedia.my



