BTS Media

WhatsApp sekat 2.4 juta akaun pengguna India pada Julai

Oleh Yusoff A. Shariff

WHATSAPP telah menyekat sejumlah 2.39 juta akaun pengguna aplikasi itu di India pada Julai.

Ini merupakan tindakan pengharaman pengguna WhatsApp tertinggi setakat tahun ini, kata syarikat Meta yang memiliki aplikasi tersebut dalam laporan bulanannya hari ini.

India yang melaksanakan undang-undang IT paling ketat di Asia mewajibkan semua pengendali aplikasi global yang digunakan di negara itu supaya mengemukakan laporan pematuhan setiap bulan, lapor BBC.

Draf peraturan yang diedarkan pada Jun mencadangkan penubuhan panel untuk mendengar rayuan pengguna, dan berkata bahawa mana-mana platform pemesejan media sosial yang popular di India hendaklah mengenal pasti siapa yang mula sekali berkongsi mesej tular jika diarahkan oleh mahkamah untuk berbuat demikian.

Daripada jumlah akaun yang disekat, sebanyak 1.42 juta “disekat secara proaktif,” sebelum diterima sebarang aduan daripada pengguna .

Beberapa akaun disekat berdasarkan laporan yang diterima melalui saluran aduan syarikat Meta/WhatsApp dan alat serta sumber yang digunakan untuk mengesan kesalahan tersebut, kata platform media sosial itu.

Pada Julai, WhatsApp menerima sejumlah 574 laporan.

Sebelum ini, WhatsApp telah dikritik kerana dikatakan menyebar berita palsu dan mesej kebencian di negara itu, dan di lain-lain negara.

-BTS Media

Leave a Comment