GAMBAR ATAS: Ken Doerr, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons.
Oleh Fetty Rara
Memorandum Perjanjian (MOA) penjualan kapal Sapura 3000 telah dimeterai oleh anak syarikat milik penuh Sapura Energy Bhd, Sapura 3000 Pte Ltd dengan harga AS$71.50 juta (kira-kira RM312.85 juta)
Ia ditandatangani pada Jumaat lepas dengan sebuah syarikat dalam kumpulan Abu Dhabi Ports Group, Safeen Feeder Company-Sole Proprietorship LLC.
Dibina pada 2008, Sapura 3000 ialah kapal pemasangan paip angkat berat serba boleh, dilengkapi dengan kren tiang berpusing seberat 3,000 tan yang mampu mengendalikan projek air dalam dan cetek.
Pemilikan kapal itu diambil alih oleh Sapura Energy pada 2017 berikutan pemberhentian usaha sama 50:50 dengan Subsea 7 SA.
Menurut maklumat yang difailkan kepada Bursa Malaysia, apabila proses penjualan siap menjelang 15 Julai 2022, Sapura Energy dijangka mengiktiraf keuntungan pelupusan bersih sebanyak RM503,746. Harga adalah berdasarkan kepada persetujuan penjual/pembeli selepas proses RFP.
Hasil jualan daripada penjualan akan digunakan untuk modal kerja dan mengurangkan pinjaman Sapura Energy Group.
Sapura Energy kini sedang berunding dengan pemiutang sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula hutangnya, selepas menerima petisyen penggulungan kerana masalah aliran tunai.
Pada akhir Januari 2022, Sapura Energy mempunyai pinjaman jangka pendek sebanyak RM10.66 bilion, termasuk hutang jangka panjang yang dikategorikan semula selepas melanggar perjanjian. Ini berbanding kesetaraan tunai RM717.75 juta.
-BTS Media