Oleh Yusoff A. Shariff
KAPAL tempur pesisiran pantai (LCS) yang dilancarkan di Lumut pada 2017 bukanlah dami tetapi merupakan kapal sebenar dalam pembinaan, kata bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana (B) Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Beliau menjawab dakwaan di media sosial bahawa pelancaran KD Maharajalela (dirujuk sebagai LCS 1) hanyalah untuk pertunjukan dan kapal sebenar tiada pada majlis itu.
Jelasnya, sudah menjadi tradisi angkatan laut untuk mengadakan majlis pelancaran dan penamaan kapal tempur yang masih belum dibina sepenuhnya.
Beliau berkata tradisi itu juga diamalkan di negara lain, seperti yang dibina di Perancis untuk Emiriah Arab Bersatu.
Dalam satu kenyataan pada Rabu (10 Ogos) beliau menyangkal dakwaan palsu kononnya LCS yang dilancarkan di Lumut pada 2017 adalah untuk menipu dan mengelirukan rakyat.
“Kapal yang dilancarkan di Lumut ketika itu adalah LCS 1 sebenar yang sedang dalam pembinaan dan bukannya dami. Ini termasuk tiang kapal yang juga dikatakan palsu,” katanya.
Beliau turut menyertakan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Kapt (B) Ir Azhar Jumaat mengenai majlis pelancaran dan penamaannya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada Disember.
Azhar juga ketua pengarah bagi Projek LCS untuk Tentera Laut dari 2012 hingga 2016.
Ahmad Kamarulzaman berkata beliau berasa terdorong untuk membetulkan rekod demi menjaga maruah dan nama baik Tentera Laut.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada “membuat isu” dan mengelirukan orang ramai.
-BTS Media