GAMBAR ATAS: Theedgemarkets.
Oleh Yusoff A. Shariff
KAPAL tempur pesisir (LCS) pertama, yang dijangka siap tahun depan, memerlukan 22 hingga 24 bulan lagi untuk menjalani ujian pelabuhan dan air laut sebelum boleh ditauliahkan dan seterusnya digunakan secara aktif.
Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata pembinaan bahagian bawah kapal pertama kini siap dengan enjin, kipas, aci dan kotak gear telah dipasang.
Beliau berkata, ia akan diikuti dengan pemasangan peralatan elektrik dan senjata, lapor NST.
Mohamad menjawab soalan ahli parlimen Lumut (PN) Komander (B) Nordin Ahmad Ismail, yang ingin tahu langkah kerajaan dalam mengatasi isu projek LCS yang dikatakan semakin meruncing dan menjejaskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Projek LCS berada di bawah penelitian tahun lepas selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berkata tiada satu pun daripada enam kapal itu siap walaupun RM6.08 bilion telah dibelanjakan untuk projek berkenaan.
Pada 2 Okt tahun lepas, bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata pembinaan projek LCS akan disambung semula sebaik sahaja rundingan berakhir pada Disember.
Sementara itu, Mohamad berkata kos pembinaan LCS kekal walaupun jumlah dikurangkan daripada enam unit kepada lima.
Beliau berkata, tiada pengurangan kos yang diluluskan sebelum ini kerana terdapat banyak pesanan variasi, kos tambahan dan peningkatan kos.
“Saya melihat wang itu digunakan. Semuanya dibeli di Boustead Naval Shipyard.”
-BTS Media