GAMBAR ATAS: Naval Technology.
Oleh Zainal AS Rashid
SURUHANJAYA Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yakin mempunyai bukti yang cukup untuk mengenakan pertuduhan terhadap beberapa individu berhubung skandal pembelian kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Walau pun ada pihak yang menyifatkan kes itu sebagai rumit, namun SPRM yakin pertuduhan boleh dibuat sebaik siasatan yang sedang berjalan selesai, lapor The Star.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu akhbar itu bahawa beberapa aspek kes telah selesai dan pertuduhan dicadangkan diambil terhadap suspek.
Beliau berkata pihaknya sedang membincangkan perkara ini dengan bahagian perundangan untuk menentukan tindakan seterusnya.
Proses siasatan telah menyaksikan pegawai SPRM dihantar ke beberapa negara, termasuk Singapura untuk mengumpul maklumat, di mana dipercayai sesetengah transaksi ke akaun individu tertentu dilakukan.
Menurut Azam, SPRM juga sedang menyiasat pecah amanah yang dilakukan oleh seorang bekas pegawai tinggi syarikat terbabit dalam proses pembelian itu.
Azam berkata pihaknya percaya sejumlah besar wang telah dipindahkan keluar tanpa kelulusan lembaga pengarah syarikat.
Walaupun tidak mendedahkan jumlah sebenarnya wang itu, beliau bagaimana pun, berkata pada satu ketika pegawai berkenaan telah memindahkan sebanyak RM24 juta tanpa pengetahuan lembaga pengarah.
Menurut beberapa laporan, projek kontrak LCS bernilai lebih RM9bil itu dikeluarkan pada 2014. Pesanan ialah untuk enam kapal tersebut dibina oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Semua kapal itu sepatutnya diserahkan pada April 2019, tetapi sehingga kini, tiada satu pun dibina walaupun kerajaan telah membayar sebanyak RM6bil kepada syarikat tersebut.
Pada November 2020, syarikat induk BNS, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah membuat laporan kepada SPRM tentang kemungkinan berlaku penyelewengan dalam projek LCS.
Susulan itu, beberapa individu ditangkap berhubung kes itu, termasuk seorang bekas pegawai tinggi BHIC.
-BTS Media