BTS Media

Tengku Zafrul diminta SPRM hadir untuk rekod keterangan

GAMBAR ATAS: The Star.

 

Oleh Fetty Rara

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengesahkan bahawa beliau telah dipanggil untuk keterangannya direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas menteri kewangan itu, bagaimanapun, enggan berkata sama ada beliau dipanggil berhubung program Jana Wibawa.

Beliau, yang ditemui media di MITI hari ini juga enggan  mengulas apabila ditanya sama ada RM5.7 bilion untuk program itu mematuhi prosedur perolehan yang betul dan mendapat kelulusan Peguam Negara (AG).

Ditanya tentang kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai siasatan yang sedang dijalankan, Tengku Zafrul berkata bekas perdana menteri itu bebas memberi pandangan.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata program tersebut dicadangkan oleh Tengku Zafrul ketika beliau menjadi menteri kewangan semasa pentadbirannya (Muhyiddin).

Muhyiddin berkata, kenyataan beliau telah direkodkan oleh SPRM, dan beliau telah memberikan maklumat mengenai pemberian kontrak bagi projek itu, yang didakwa pihak tertentu kononnya tidak dilakukan mengikut peraturan.

Susulan itu, Tengku Zafrul berkata beliau akan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan program Jana Wibawa jika dipanggil.

Jana Wibawa atau ‘Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa’ diperkenal untuk mempercepatkan pelaksanaan projek bagi merangsang pemulihan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan keupayaan kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan agar lebih berdaya tahan dan berdaya saing.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 15 Feb lepas mengumumkan bahawa kerajaan akan menangguhkan projek pembangunan luar bandar bernilai RM5.7 bilion di bawah skim Jana Wibawa.

Menurut beliau, penangguhan itu adalah untuk menyemak sama ada ia dianugerahkan mengikut proses perolehan dan keperluan tadbir urus yang ditetapkan oleh Perbendaharaan.

-BTS Media

Leave a Comment