SEBANYAK 6,555 kilogram (kg) ayam mentah bernilai kira-kira RM85,400 dirampas, manakala 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan dalam serbuan ke atas sebuah gudang pemprosesan ayam di Puchong awal pagi ini.
Lebih mengejutkan, pemeriksaan pihak berkuasa mendapati ayam berkenaan dipercayai direndam dalam takungan air panas sehingga mati sebelum disembelih, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai pematuhan prosedur penyembelihan halal.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Siasatan Khas dan Risikan (WCB/PSK) Bukit Aman, Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan menerusi operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Taring Chiller itu dijalankan kira-kira pukul 12.40 tengah malam, hari ini.
Beliau berkata, premis berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa memiliki sijil halal yang sah.
Menurutnya, kaedah pemprosesan yang dipercayai menyebabkan ayam mati sebelum disembelih itu menimbulkan kebimbangan serius berhubung pematuhan hukum syarak serta syarat pensijilan halal.
Beliau berkata, prosedur penyembelihan merupakan antara elemen utama dalam menentukan status halal sesuatu produk ayam.
Mohd Zaki berkata, 12 lelaki yang ditahan, terdiri daripada warga Bangladesh dan Pakistan, dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan penyembelihan dan pemprosesan ayam di premis terbabit.
Selain itu, pihak berkuasa turut merampas 468 bungkusan plastik berisi ayam mentah dengan jumlah berat keseluruhan 6,555kg.
Siasatan awal mendapati premis itu dipercayai telah lama beroperasi dengan mendapatkan bekalan ayam daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang.
Ayam yang diproses kemudian dipercayai diedarkan kepada pelanggan termasuk pengusaha kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana serta Putrajaya, selain beberapa kawasan lain di Lembah Klang.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian pembekalan dan pengedaran, termasuk jumlah sebenar ayam yang diproses setiap hari serta pihak lain yang mungkin terbabit.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan WCB/PSK di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.
Susulan penemuan itu, JAIS mengambil tindakan mengikut Seksyen 3(1)(a) dan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
JAS Selangor pula mengeluarkan notis penahanan peralatan operasi mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, manakala Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengeluarkan notis pembersihan susulan ketidakpatuhan terhadap keperluan kebersihan dan pengendalian makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Sementara itu, kesemua 12 lelaki berkenaan turut dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua ayam yang dirampas ditempatkan sementara di pejabat JAIS di Shah Alam untuk tindakan lanjut.
-BTSMedia.my



