KERAJAAN hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tujuh Ahli Parlimen pembangkang yang antara lain bersetuju menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk menyokong Belanjawan 2027.
Sebagai balasan, tujuh wakil rakyat itu menuntut kerajaan melaksanakan reformasi institusi, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum penggal kerajaan sekarang berakhir.
Mereka turut menuntut peruntukan pembangunan kawasan pilihan raya yang setara dengan apa yang diterima Ahli Parlimen kerajaan.
Perjanjian keyakinan dan perbekalan (confidence and supply agreement atau CSA) itu ditandatangani oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Penasihat Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang terlibat ialah Muhyiddin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Perjanjian itu turut ditandatangani enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat daripada parti berkenaan pada tahun 2024 selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan.
Sebelum ini, Anwar menjelaskan bahawa peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang boleh disalurkan menerusi CSA, sepertimana persetujuan yang pernah dicapai dengan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, ketika Anwar mengetuai pembangkang.
Dari segi kekuatan di Dewan Rakyat, blok kerajaan kini mempunyai 149 Ahli Parlimen, terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (BN) sebanyak 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 23 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan tujuh kerusi.
Blok kerajaan turut disokong tiga Ahli Parlimen Warisan serta masing-masing seorang wakil daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Selain itu, lapan Ahli Parlimen Bebas menyokong kerajaan, termasuk enam bekas wakil rakyat Bersatu.
Sementara itu, blok pembangkang terdiri daripada PAS dengan 43 kerusi, Bersatu (19), Wawasan (enam) dan Muda (satu).
Empat kerusi Parlimen masih kosong berikutan peletakan jawatan Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Dengan 218 Ahli Parlimen yang masih berkhidmat ketika ini, kerajaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 110 ahli untuk memperoleh majoriti mudah, manakala majoriti dua pertiga memerlukan 146 sokongan.
-BTSMedia.my



