BTS Media

Rancangan ‘kunci’ penggal penuh kerajaan tidak demokratik

Oleh Zainal AS Rashid

BEKAS Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menolak cadangan supaya diadakan Akta Penggal Tetap Parlimen.

Beliau menyifatkan cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi itu tidak demokratik.

Katanya, jika cadangan Zahid itu menyerupai sistem di United Kingdom (UK), di mana Perdana Menteri boleh membubarkan Parlimen dan memanggil pilihan raya pada bila-bila masa dengan perkenan Raja, ia mungkin lebih elok.

Khairy berkata, seperti di UK, sistem di Malaysia memberikan tempoh lima tahun.

Bagaimana pun, bekas perdana menteri David Cameron telah memperkenalkan Parliamentary Systems Act, yang menetapkan tempoh parlimen tetap dengan pilihan raya dijadualkan secara automatik pada hari Khamis pertama bulan Mei setiap lima tahun.

“Pengecualian dibuat hanya melalui undi tidak percaya di Parlimen atau undi majoriti dua pertiga untuk pilihan raya awal,” katanya.

Khairy berkongsi pandangannya itu dalam program “Podcast Keluar Sekejap” yang dihoskan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan di YouTube.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Zahid mencadangkan penggubalan undang-undang penggal tetap parlimen bagi memastikan apa didakwanya sebagai ‘menjamin’ kestabilan kerajaan sehingga akhir penggal atau pilihan raya umum akan datang.

Alasan yang diberikan Zahid ialah kononnya undang-undang tersebut akan menghalang manipulasi politik dan memastikan kestabilan negara.

Sementara itu, Khairy mencadangkan kepada Speaker dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Azalina Othman Said supaya melaksanakan undi tidak percaya dengan ketetapan memerlukan surat yang ditandatangani 15 atau 20 ahli Parlimen.

-BTS Media

Leave a Comment