JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) kesal tindakan kerajaan tidak menyahklasifikasikan sepenuhnya Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkaitan sistem penguatkuasaan automatik (AES), kata pengerusinya, Wong Kah Woh sambil mendakwa Putrajaya tidak menghormati institusi Parlimen.
Beliau berkata, apabila PAC membentangkan laporan jawatankuasa berhubung AES pada 23 Nov tahun lalu, syor pertama PAC adalah supaya laporan JKSUPKK yang diletakkan sebagai rahsia besar dinyahklasifikasi.
“Bagaimanapun, JPM yang bertindak mengklasifikasikan laporan berkenaan gagal berbuat demikian apabila menghadiri prosiding tindakan susulan Kementerian pada 23 Mac.
“Sikap JPM ini telah ditegur oleh PAC semasa prosiding tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tindakan menyahklasifikasikan laporan JKSTUPKK itu hanya dilakukan pada 8 Julai, namun ia tidak dilakukan sepenuhnya sebaliknya, maklumat berkenaan dengan nama-nama turut dihitamkan.
“Adalah amat mengarut apabila nama-nama syarikat yang terbabit iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd yang telah menjadi pengetahuan umum, dan nama menteri-menteri juga turut dihitamkan,” katanya.
Laporan itu yang dilampirkan bersekali dengan Laporan PAC – Tindakan Susulan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung AES dibentangkan di Parlimen hari ini.
“Rakyat boleh menilai sendiri tindakan kerajaan yang bersikap acuh tidak acuh terhadap syor PAC yang juga Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat untuk menyahklasifikan sepenuhnya laporan JKSTUPKK itu.
“Tindakan menghitamkan sebahagian laporan berkenaan yang tidak ada kena mengenai dengan aspek keselamatan negara atau dasar yang sensitif jelas sikap kebudak-budakan dan merendahkan martabat Parlimen,” katanya.