PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak berperlembagaan.
Beliau berkata, perjanjian itu bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki ahli-ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti.
“Saya memandang serius perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan PH yang mewajibkan ahli Dewan Rakyat dari parti masing-masing mengundi usul-usul tertentu di Dewan Rakyat.
“Ini termasuk undi percaya kepada Perdana Menteri. Kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang disandang,” katanya di Facebook pada Sabtu.
Pada Jumaat, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.
Perkara itu dimeterai melalui Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan.
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh ketua gabungan iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Menerusi matlamat perjanjian tersebut, gabungan itu bersetuju menjunjung kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan memelihara serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
https://www.sinarharian.com.my/article/236512/berita/politik/mou-kerajaan-perpaduan-tidak-berperlembagaan—muhyiddin