BTS Media

Wakil PH akan bertemu kerajaan ‘segera’ bincang perkara tidak dipenuhi MoU

GAMBAR ATAS: Pakatan Harapan.

 

Oleh Zainal AS Rashid

WAKIL Pakatan Harapan dalam jawatankuasa pemandu memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diarahkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan mereka “segera” untuk membincangkan perkara yang masih tidak dipenuhi.

Majlis presiden PH berkata ia “mengambil maklum” kenyataan Ismail pada Khamis bahawa MoU baharu tidak akan ditandatangani, namun menyatakan bahawa MoU yang ditandatangani pada 13 Sept 2021 akan terus berkuat kuasa selagi Parlimen belum dibubarkan.

Dalam satu kenyataan, PH menyambut baik Rang Undang-Undang (RUU) anti-lompat parti yang diluluskan semalam (28 Julai).

Bagaimanapun, usaha masih perlu bagi membetulkan suasana politik dan demokrasi di negara ini.

Dengan kelulusan pindaan perlembagaan ini, 15 daripada 18 perkara (83.3 peratus) yang dipersetujui dalam MoU ini telah dilaksanakan.

Perkara yang belum dilaksanakan ialah had dua penggal (10 tahun) untuk perdana menteri, mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, dan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat parlimen bagi memastikan prosiding lebih sistematik dan lancar.

Perkara keempat dalam MoU, iaitu kebebasan kehakiman mesti dipatuhi setiap masa.

Majlis PH juga mahukan supaya wakilnya dalam jawatankuasa pemandu bertemu dengan rakan sejawatan dalam kerajaan untuk “meneliti perkara” yang dibangkitkan Ismail, termasuk berkaitan pembiayaan politik.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Upko Madius Tangau.

Pada Rabu lalu, Ismail yang juga naib presiden UMNO berkata beliau akan mematuhi keputusan partinya untuk tidak melanjutkan MoU tersebut.

Walaupun MoU itu tidak mempunyai tarikh tamat, kerajaan dan PH bersetuju untuk tidak mengadakan pilihan raya umum ke-15 sebelum 31 Julai.

-BTS Media

Leave a Comment