SATU-SATUNYA banduan terakhir hukuman mati di Tennessee, Amerika Syarikat (AS), Christa Pike, 50, telah dibenarkan keluar dari hospital pada hari Sabtu sebelum dihantar semula ke penjara untuk meneruskan rawatan susulan selepas cubaan melaksanakan hukuman matinya gagal.
Pasukan peguamnya memaklumkan bahawa Pike kini ditempatkan semula di Debra K. Johnson Rehabilitation Center, institusi yang menempatkannya selama lebih 30 tahun, lapor Reuters.
Dalam kenyataan bersama, peguam daripada Federal Defender Services of Eastern Tennessee dan Tennessee Office of the Post Conviction Defender berkata Pike dibenarkan keluar dari hospital dan akan terus menerima rawatan perubatan di penjara berkenaan.
Pike, yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh pada tahun 1995, sebelum ini dilaporkan tersedar di hospital dalam keadaan marah dan keliru, dengan tempoh pemulihan yang panjang menantinya.
Menurut peguamnya pada hari Rabu, mereka sebelum itu bimbang Pike mungkin mengalami kematian otak selepas dia terselamat daripada percubaan pelaksanaan hukuman mati pada 30 September lalu.
Pike dikejarkan ke sebuah hospital di Nashville dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal, selain mengalami kecederaan parah pada lengan selepas dua suntikan gagal membunuhnya di Riverbend Maximum Security Institution.
Sementara itu, seorang hakim Tennessee minggu ini mengarahkan pihak berkuasa negeri memelihara semua bukti berkaitan kegagalan pelaksanaan hukuman mati tersebut.
Salah seorang peguam Pike menyifatkan arahan itu sebagai langkah pertama daripada beberapa tindakan yang diperlukan bagi melindungi dan menguatkuasakan hak perlembagaan anak guamnya.
Susulan kejadian itu, Gabenor Tennessee, Bill Lee, menggantung semua pelaksanaan hukuman mati sepanjang baki tahun ini sementara siasatan dijalankan terhadap kes Pike serta satu lagi kegagalan serupa membabitkan banduan Tony Carruthers pada bulan Mei lalu.
Dalam kes Carruthers, pegawai penjara gagal menyediakan saluran intravena yang diperlukan untuk suntikan maut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai prosedur pelaksanaan hukuman mati di negeri itu.
-BTSMedia.my



