Oleh Zainal AS Rashid
Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan mengguna pakai hukuman alternatif mengikut budi bicara mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan itu dibuat susulan pembentangan Laporan Kajian Penggantian Hukuman Mati Mandatori oleh beliau semasa Mesyuarat Kabinet pada Rabu (8 Jun).
Jawatankuasa khas itu diketuai oleh bekas ketua hakim negara Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar undang-undang, seperti bekas ketua hakim negara Malaya, bekas peguam negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang dari institusi terkemuka, dan kriminologi,” katanya.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (10 Jun) Wan Junaidi mengesahkan bahawa Kabinet bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dijalankan terhadap cadangan hukuman ganti bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati.
Kajian lanjut akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, dan kementerian atau jabatan-jabatan lain.
Wan Junaidi berkata tindakan ini amat penting bagi memastikan pindaan akta berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ dan keperlembagaan sebarang cadangan kepada kerajaan nanti.
Beliau berkata kerajaan akan juga mengkaji kebolehlaksanaan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, seperti mewujudkan prosedur pra-hukuman, menubuhkan Majlis Penghukuman, membangunkan Garis Panduan Penghukuman, menubuhkan Suruhanjaya Undang-undang, reformasi penjara, dan menjatuhkan hukuman berasaskan keadilan dalam konteks pemulihan.
-BTS Media