BTS Media

Perhimpunan bantah hukuman mati warga Malaysia di Singapura

GAMBAR ATAS: BBC.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Kira-kira 300 orang menyalakan lilin di sebuah taman Singapura semalam (Isnin 25 April) sebagai membantah hukuman gantung ke atas warga Malaysia Nagaenthran Dharmalingam yang disabitkan dengan penyeludupan dadah.

Keluarganya hanya memerhatikan perhimpunan itu dari luar taman kerana undang-undang Singapura tidak membenarkan orang asing memasuki lokasi protes.

Perhimpunan diiringi dengan ucapan, doa dan persembahan muzik. Para peserta memakai baju-T dengan slogan menggesa hukuman mati dimansuhkan.

Nagaenthran Dharmalingam, 34, dipenjara lebih 10 tahun kerana didapati bersalah mengedar 43g heroin ke Singapura. Rayuan terakhir terhadap hukuman matinya ditolak bulan lepas.

Mahkamah Rayuan Singapura pada Selasa (26 April) akan mendengar satu lagi permohonan yang difailkan oleh Dharmalingam dan ibunya.

Sepupunya,  Thenmoli Sunniah dilaporkan oleh Reuters berkata bahawa beliau tidak mahu berputus asa hingga ke saat akhir.

Hukuman mati itu dijadualkan pada esok (27 April).

Peguamnya dan para aktivis berkata IQ Nagaentran didapati berada pada 69, tahap yang diiktiraf sebagai kecacatan intelek.

Perhimpunan semalam juga bagi menunjukkan solidariti untuk seorang lagi banduan warga Malaysia yang dihukum mati di Singapura, Datchinamurthy Kataiah kerana disabitkan kesalahan mengedar 45g diamorphine.

Kes Nagaenthran telah menarik perhatian antarabangsa.

Sekumpulan pakar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bilionair British Richard Branson, dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bersama aktivis hak asasi manusia telah menggesa Singapura supaya meringankan hukuman mati itu.

-BTS Media

Leave a Comment