SINGAPURA telah menjalankan hukuman gantung ke atas dua pengedar dadah hari ini (Khamis 7 Jul) dalam apa yang dikecam aktivis sebagai “hukuman yang memalukan dan tidak berperikemanusiaan”.
Tindakan terbaharu itu menjadikan empat bilangan hukuman mati di republik itu sejak Mac lalu.
Hukuman mati terbaharu dilaksanakan selepas hukuman gantung ke atas seorang banduan kurang upaya mental pada April lalu mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan komuniti antarabangsa , termasuk Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Undang-undang antidadah Singapura adalah antara ang paling keras di dunia, dan negara itu bertegas  bahawa hukuman mati kekal sebagai penghalang yang berkesan terhadap pesalah membabitkan dadah.
Menurut aktivis hak asasi manusia Kirsten Han, mereka yang dihukum mati hari ini ialah warga Malaysia, Kalwant Singh, 32, dan warga Singapura Norasharee Gous.
Beliau memberitahu media bahawa adik perempuan Kalwant telah diberikan sijil kematiannya, manakala keluarga Norasharee telah membawa jenazahnya ke masjid.
Pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International berkata penggunaan hukuman mati oleh Singapura adalah terang-terangan “satu pencabulan hak asasi manusia”.
Kalwant dan Norasharee didapati bersalah pada 2016 kerana mengedar heroin dalam kes yang sama.
-BTS Media